BICARA MENGUNDANG

Assalamualaikum wrt wbrt dan salam sejahtera.Bismillah hirohma nirahim.
Selamat datang diucapkan kepada para pengunjung ke blog rasmi persatuan penulis Budiman atau ringkasnya BUDIMAN. Blog ini menyediakan pelbagai informasi tentang dunia persuratan Melayu di tanah air, khususnya yang melibatkan perkembangan dan kegiatan BUDIMAN dalam usahanya menyumbang kepada perkembangan dan pemerkasaan persuratan Melayu di negara ini.Para pengunjung dijemput berkongsi maklumat, pandangan dan buah fikiran dan jika berminat boleh terlibat sebagai anggota dalam persatuan ini sebagai ahli.disediakan dalam blog ini pelbagai ruang yang memberi ruang dan peluang kepada ahli-ahlinya berkarya, meluahkan pelbagai pandangan, informasi kegiatan, isu, seminar dan persidangan dan berbangai lagi.Blog ini bukan berasaskan keuntungan atau populariti masa, sebaliknya lebih mementingkan khidmat peradaban yang bergerak ke arah pengupadayaan persuratan Melayu. Semoga usaha kecil persatuan ini dapat membuah hasil dan dapat dipetik pula oleh generasi bangsa pada masa hadapan.

Isnin, 20 Disember 2010

SAJAK CAHAYAMATAKU TERISTIMEWA

cahayamataku teristimewa

kau seperti cahayamataku yang lain
dilahirkan penuh sambut dan beradat
dialun iqamah ke cupingamu
moga kau kan jadi harapan serikandi
seperti cahayamataku yang lain
kau bertatih,beragah rajuk dan tangis
menjadi alunan irama bondamu.

cahayamataku teristimewa
rajukmu tidak sekata,
tangismu penuh kesakitan
mimpimu sering diganggu
lenamu tidak pernah panjang
riuh siangmu dalam sepi
sepi malammu dalam sendu
suaramu adalah irama luka
agahmu penuh kepedihan.

terkadang bonda tertanya
inikah tanda dosaku semalam?
inikah takdir yang tak terpikul?
inikah suratan yang tak tergalas?
dalam pasrah qada` dan qadar Allah
dan ketentuan janji AzaliMu
itulah kebesaran Tuhan-Ku

memilikimu cahayamataku teristimewa
tanda kasih sayang-Nya yang Esa pada bonda
bonda insan terpilih
menerima ujian-Nya
walau terkadang tak terpikul bebannya.

cahayamataku teristimewa
kini kau telah melangkah usia remaja
remajamu tidak seperti temanmu
kau tetap dalam kelainan yang istimewa
kau diciptakan Allah dalam
ujian yang hebat,
memilikimu
seperti cahayamataku yang lain
kau tetap berada dalam dakapan hangat kasih
bonda selamanya.

Nukilan,
Jamilah Mohamad Nor
Dis 2010.