BICARA MENGUNDANG

Assalamualaikum wrt wbrt dan salam sejahtera.Bismillah hirohma nirahim.
Selamat datang diucapkan kepada para pengunjung ke blog rasmi persatuan penulis Budiman atau ringkasnya BUDIMAN. Blog ini menyediakan pelbagai informasi tentang dunia persuratan Melayu di tanah air, khususnya yang melibatkan perkembangan dan kegiatan BUDIMAN dalam usahanya menyumbang kepada perkembangan dan pemerkasaan persuratan Melayu di negara ini.Para pengunjung dijemput berkongsi maklumat, pandangan dan buah fikiran dan jika berminat boleh terlibat sebagai anggota dalam persatuan ini sebagai ahli.disediakan dalam blog ini pelbagai ruang yang memberi ruang dan peluang kepada ahli-ahlinya berkarya, meluahkan pelbagai pandangan, informasi kegiatan, isu, seminar dan persidangan dan berbangai lagi.Blog ini bukan berasaskan keuntungan atau populariti masa, sebaliknya lebih mementingkan khidmat peradaban yang bergerak ke arah pengupadayaan persuratan Melayu. Semoga usaha kecil persatuan ini dapat membuah hasil dan dapat dipetik pula oleh generasi bangsa pada masa hadapan.

Khamis, 24 Mac 2011

DISKUSI BUKU MELAYU HILANG DI DUNIA


BUDIMAN dengan kerjasama Perpustakaan Tuanku Bainun akan menganjurkan diskusi buku terbitan terkini berjudul `Melayu hilang di dunia` (2011) karya Khalid Salleh bertempat di Dewan Serbaguna 2 Perpustakaan Tuanku Bainun pada 28 Mac 2011 jam 2.00 petang. Panel pendiskusi ialah Dato' Hassan Ahmad, Mantan Ketua Pengarah DBP dan Sdr Mohd Daud Mohamad, Ketua 1, Persatuan Penulis Kuala Lumpur (KALAM).
Moderator diskusi ialah Prof. Madya Dato' Paduka Dr. Mohd Rosli Saludin.

Kepada semua ahli BUDIMAN dan pengunjung blog ini dijemput menghadiri diskusi ini.

Selasa, 1 Mac 2011

DUA BUAH SAJAK JAMILAH

Malunya aku


Malunya aku
tangan tak kesampaian
menggapai bintang.

malunya aku
bila ingin terbang tinggi di awan
tapi sayapku tak sekuat sayap sang helang

malunya aku
bila aku ingin menjadi baung gagah di lautan
tapi aku hanya seluang lincah di muara

malunya aku
bila aku ingin menjadi sang camar
yang riang terbang menghiasi pantai
dan ia menjadi buruan rindu
tapi aku cuma pipit di dangau sawah
mengutip sisa padi sang petani

malunya aku
menjadi seperti sang pungguk
merindu bulan di malam kelam
sedang ia tahu bulan tidak pernah menyapa rindu.



MIL MD.NOR




Pelangi Petang


hadir lewat gerimis tengahari
kelam suram warnanya
tapi indah di mataku
bagai tak mahu ku lepas pergi
sesejuk mata melihatmu
seindah rasa menikmatimu.

MIL MD NOR

HASIL DISKUSI INTERLOK

Diskusi novel Interlok yang dianjurkan pada 24 Januari 2011 dengan kerjasama Perpustakaan Tuanku Bainun UPSI mendapat sambutan yang menggalakkan. Seramai 241 peserta yang terdiri daripada pelajar pelbagai kaum, pensyarah, wartawan dan peminat sastera dari Kuala Lumpur hadir dalam diskusi ini. Akhbar Berita Hairan telah menyiarkan liputan diskusi pada 28 Januari 2011. Ketua 1, Dr Abdul Halim Ali terlibat sebagai salah seorang panel diskusi selain daripada Mana Sikana dan Profesor Emeritus Dato' Dr. Mohd Yusof Hassan.
Diskusi kali ini telah mempertegaskan bahawa pertama, novel Interlok tidak perlu dipinda, kerana kandungan tidak mengandungi elemen yang sensitif. Perkara paria yang dipertikaikan oleh segelintir orang-orang India adalah suatu realiiti yang terstruktur dalam masyarakat India di India itu sendiri. Itulah hakikat sejarah. Kedua menyatakan kekesalan terhadap tindakan membakar novel dan gambar SN Abdullh Hussain. Ketiga, Tindakan mnembantah penggunaan novel ini tidak diasaskabn pada landasan akademik dan metod kritik sastera yang betul.
Hakikatnya, novel Interlok menurut Dfr. Abdul Halim Ali memberi kemenangan kepada masyarakat India itu sendiri menerusi watak Ramakrishsnan dan juga watak Maniam.